Wednesday 16 April 2014

Unimas, UTM bantu gelandangan

KUCHING 15 April - Prihatin dengan nasib golongan kurang bernasib baik, khususnya gelandangan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Program 1Ringgit 1Nation.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimas, Prof. Fadzil Abdul Rahman berkata, program tersebut merupakan idea daripada pelajar dan disokong penuh oleh pihak universiti.

"Saya berasa kagum dengan sikap keprihatinan para pelajar yang mahu membantu golongan kurang bernasib baik.

“Ini satu usaha yang murni meskipun mereka sibuk dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, namun masih prihatin untuk membantu orang yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangan 1Ringgit 1Nation di Restoran Rumah Universiti, Bangunan Canselori Unimas di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni UTM, Prof. Dr. Mohd. Ismail Abdul Aziz dan Pe­ngarah Program 1Ringgit 1Nation Unimas, Nursyaheera Abu Bakar.

Dalam majlis tersebut, Fadzil menyampaikan RM14,014 kepada Mohd. Ismail bagi menjayakan program tersebut.

Kira-kira 20 pelajar yang terdiri daripada pelajar Unimas dan UTM akan menyertai misi ke Medan, Indonesia pada 24 hingga 27 April ini manakala 70 sukarelawan terlibat akan menjayakan program 1Ringgit 1Nation tersebut dengan mengutip derma di setiap kolej kediaman, fakulti dan pihak pe­ngurusan.

Mengulas lanjut Fadzil berkata, program tersebut dilihat sebagai satu usaha untuk memupuk dan mengukuhkan diri mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan.

Sementara itu, Pengarah Program 1Ringgit 1Nation UTM, Faezah Faizal berkata, kerjasama pihaknya dengan Unimas itu telah berjaya mengutip sebanyak RM30,000.

"Kira-kira RM20,000 telah digunakan untuk misi program ini iaitu mengagihkan bungkusan makanan sebanyak 350 bungkus kepada gelandangan di Semenanjung Malaysia.

"Baki selebihnya kami salurkan untuk membantu golongan gelandangan di Medan, Indonesia dan sasaran kali ini adalah untuk mengagihkan sejumlah 400 bungkus makanan kepada mereka," katanya.

Sumber berita dari Utusan Malaysia, klik di sini .
Gambar-gambar Majlis Penyerahan Sumbangan 1 Ringgit 1 Nation Peringkat UNIMAS, klik di sini .
Montaj 1 Ringgit 1 Nation, klik di sini .

0 comments:

Post a Comment