Aktiviti berkumpulan bagi memupuk kepemimpinan diri diadakan di Taman Tasik Taiping yang dipimpin oleh mahasiswa Kolej Cempaka, Unimas di Perak baru-baru ini. |
Program bercorak kesukarelawan itu memberikan peluang kepada mahasiswa untuk berkongsi pengalaman kepada generasi kepimpinan pelajar menengah itu tentang kehidupan dalam universiti.
Pengarah program, Nik Azma Nik Day berkata, melalui program itu, pelbagai aspek kehidupan seperti budaya, ilmu dan gaya hidup dapat dikongsikan bersama.
Katanya, pihaknya juga dapat membina hubungan baik antara Kolej Cempaka, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Doktor Burhanuddin, Taiping, Perak.
"Saya sangat berbangga dengan penganjuran Projana 2.0 ini yang menjadi salah satu medium kepada kami, para mahasiswa untuk mengasah lagi kemahiran kendiri dari segi kepemimpinan, pengurusan komunikasi dan sebagainya.
"Hal ini kerana kami barisan pelaksana program mempunyai latar belakang dalam bidang yang berbeza, tetapi kami telah bekerjasama dan bertungkus lumus dalam menjayakan program ini," katanya.
Program itu telah dijalankan di SMK Doktor Burhanuddin, Taiping, Perak pada 23 hingga 26 Januari lalu.
Fokus kepada program tersebut adalah memberi tumpuan di kalangan pemimpin asrama SMK Doktor Burhanuddin yang dikenali sebagai Majlis Perwakilan Pelajar Asrama.
Projana 2.0 dianjurkan oleh mahasiswa Kolej Cempaka, Unimas dengan kerjasama SMK Doktor Burhanuddin, Taiping Perak.
Tambah beliau, diharapkan juga program ini akan menjadi pencetus kepada para mahasiswa yang lain untuk melihat jauh ke hadapan dan keluar dari zon selesa bagi memartabatkan lagi nama Unimas di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
"Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini terutamanya kepada pihak pengurusan dan pentadbiran Kolej Cempaka dan SMK Doktor Burhanuddin, pihak Unimas, Zoo Taiping dan para penaja yang terlibat," ujarnya.
Artikel daripada Utusan Malaysia, pautan http://ww3.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20140212/wb_06/Objektif-Projana-20-Unimas-tercapai
0 comments:
Post a Comment