Wednesday, 15 January 2014

Usaha tingkat motivasi pelajar

Para peserta Projana pertama anjuran Unimas yang berlangsung selama lima hari pada Oktober lalu.

KOTA SAMARAHAN 14 Jan. - Program Menjana Transformasi Kepemimpinan (Projana 2.0) akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Doktor Burhanuddin Taiping, Perak pada 23 hingga 26 Januari ini.

Program yang dianjurkan oleh mahasiswa Kolej Cempaka, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersama dengan sekolah itu akan memberi tumpuan kepada golongan pemimpin yang dilihat sangat penting untuk didekati oleh golongan mahasiswa.

Pendekatan tersebut diharap dapat membantu meningkatkan motivasi diri pelajar yang merupakan pelapis pemimpin negara pada masa hadapan.

Pengetua Kolej Cempaka, Bakri Abdul Karim berkata, para pelajar yang mengurus dan menjayakan program ini mempunyai latar belakang dalam bidang yang berbeza tetapi mampu bekerjasama dan bertungkus lumus dalam menjayakan program tersebut.

"Program ini juga diadakan selepas mendapat dorongan daripada penasihat yang merupakan barisan pentadbiran Kolej Cempaka.

"Ini juga menunjukkan UNIMAS tidak hanya mementingkan kecemerlangan akademik pelajar semata-mata tetapi turut menyediakan ruang untuk mengasah kemahiran kendiri mahasiswa dan mahasiswi termasuk kemahiran kepimpinan, pengurusan, berkomunikasi, kesukarelaan dan berinteraksi dengan para profesional serta semua lapisan masyarakat," katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Antara modul program yang akan dijalankan nanti ialah khidmat komuniti di Zoo Taiping, kepimpinan, pengawalan tekanan, pengurusan dan sebagainya yang mana mampu membantu pembentukan diri pelajar sebagai seorang pemimpin.

Projana 2.0 merupakan kesinambungan daripada program Projana yang telah dijalankan pada 17 hingga 20 Oktober tahun lalu.

Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada generasi kepimpinan pelajar ini akan kehidupan alam universiti.

Di samping itu, mereka mahu mewujudkan usaha sama secara lestari dengan pihak sekolah bagi mendekatkan golongan mahasiswa dan pelajar sekolah.

Program ini merupakan sebuah program yang bercorak kesukarelaan dan khidmat bimbingan kepada pelajar sekolah dalam meningkatkan kualiti kepimpinan mereka.

Penganjuran kali ini akan lebih memberi fokus kepada aspek berkaitan kepimpinan secara lebih mendalam seiring dengan tema yang dibawakan iaitu "Kepimpinan Perkasa Sahsiah Mapan".

0 comments:

Post a Comment