Thursday, 24 October 2013

UNIMAS inspirasi pelajar MRSM Kuching

Pelajar Tingkatan Tiga MRSM Kuching telah mengadakan lawatan ke UNIMAS dan Kolej Cempaka pada 24 Oktober 2013. Program ini adalah merupakan program siri pertama dalam Program Gerak Gemilang (PGG) MRSM Kuching, bagi memberi pendedahan kepada para pelajar tentang persekitaran universiti.

Pada sesi pagi, pelajar MRSM Kuching telah dikumpulkan sebelum dibawa bersiar-siar bagi mengenali persekitaran UNIMAS oleh fasilitator yang terdiri daripada warga Kolej Cempaka. Para pelajar telah diagihkan kepada beberapa kumpulan bersama fasilitator bagi memudahkan fasilitator memberi penerangan tentang cara pembelajaran di UNIMAS . Antara kawasan yang dilawati adalah Pusat Khidmat Maklumat Akademik (PKMA), bangunan fakulti, Central Teaching Facilities (CTF) dan pelbagai lagi.

Pada sesi tengah hari, satu slot motivasi telah diadakan di Bilik Seminar Pusat Islam UNIMAS bagi memberi semangat kepada para pelajar MRSM Kuching dan menyedarkan mereka betapa pentingnya belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang yang lebih berjaya. Slot motivasi juga diselitkan dengan para pelajar dapat bertanyakan soalan dalam sesi soal jawab .

Pada Majlis Penutupan yang berlangsung selepas itu, guru pengiring daripada MRSM Kuching mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sudi menerima kehadiran para pelajar Tingkatan Tiga sekolah berkenaan. Pengetua Kolej Cempaka, Encik Bakri Abd Karim juga dalam ucapan perasmian penutupnya mengharapkan para pelajar MRSM Kuching akan lebih bersemangat dalam pelajaran sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke universiti pilihan mereka.

Pelajar MRSM Kuching ketika ditemui melahirkan rasa teruja apabila dapat melawat sekitar UNIMAS, dan melihat persekitaran universiti yang amat kondusif serta menjadi inspirasi mereka untuk belajar bersungguh-sungguh. Mereka mengharapkan agar lawatan seperti ini akan dapat dibuat pada masa akan datang.



0 comments:

Post a Comment