Friday 27 February 2015

Rapatkan hubungan pelajar dengan MPP

Dalam usaha "Merakyatkan Majlis Perwakilan Pelajar", Road Tour Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNIMAS 2014/2015 telah hadir ke Kolej Cempaka pada 26 Februari 2015 di Kafeteria Kolej. Kehadiran hampir kesemua Jawatankuasa MPP pada jam 10.15 malam disambut oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Cempaka 2014/2015.

Program yang berlangsung hampir sejam ini menyaksikan MPP yang diketuai oleh Saudara Syahmie berkongsi hala tuju MPP yang akan dilaksanakan sepanjang sesi ini, sambil mendengar masalah yang dihadapi pelajar. MPP juga turut membuat bancian terhadap warga kolej dengan mengedarkan borang bancian.

Kolej Cempaka merupakan lokasi terakhir Road Tour MPP UNIMAS sebelum program Perhimpunan Mahasiswa yang dijangka berlangsung pada 12 Mac ini di Arena Gemilang DeTAR PUTRA UNIMAS.


Tuesday 30 December 2014

Kolej Cempaka bantu mangsa banjir di Kelantan

Tahun 2014 menyaksikan tragedi banjir besar di seluruh negara, termasuk di negeri-negeri Pantai Timur. Menurut statistik yang direkodkan pada 29 Disember 2014 di negeri Kelantan, kawasan jajahan Kota Baharu mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir iaitu 44,061 orang, Tumpat (30,569), Pasir Mas (23,568), Kuala Krai (23,500), Gua Musang (17,327), Machang (8,289), Tanah Merah (3,546) dan Pasir Puteh (192).

Atas dasar keprihatinan kepada mangsa banjir di seluruh negara, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Cempaka telah menggerakkan kempen 'Hulurkan Tangan, Ringankan Beban' pada 29 Disember dan 30 Disember 2014. Warga kolej telah menghulurkan sumbangan berbentuk makanan dan barangan keperluan harian. Barangan-barangan yang telah didermakan telah diserahkan kepada wakil Kolej Bunga Raya untuk dikumpulkan.

JPK Cempaka ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga kolej yang telah memberikan sumbangan kepada mangsa banjir.

Monday 22 December 2014

Papar perjalanan kematian banduan

Pementasan Teater Piluk telah berlangsung di 20 Disember 2014 di Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak. Program yang dianjurkan oleh Unit Teater dan Drama CREATIST ini dihadiri oleh pemangku Pengetua Kolej Cempaka, Encik Mazdan Bin Ali Amaran dan Pengurus Asrama, Puan Irmah Dolhan.

Teater Piluk mengisahkan watak Lan yang menjalani hari-hari terakhir sebelum menjalani hukuman gantung sampai mati kerana didapati mengedar dadah. Penonton yang terdiri daripada warga UNIMAS dan penduduk sekitar Kota Samarahan dan Kuching rata-ratanya berpuas hati dengan pementasan teater tersebut.

Dalam pementasan ini juga dipaparkan sedutan pementasan teater yang bakal berlangsung pada tahun 2015, bertemakan Tribute P. Ramlee.

Sebelum ini, pementasan teater sebegini pernah diadakan pada tahun 2012 di lokasi yang sama. Teater Kojol pernah diangkat sebagai pemenang Anugerah Rafflesia Majlis Anugerah Pelajar UNIMAS 2012.

A photo posted by MEDIACempaka (@mediacempaka) on

Thursday 11 December 2014

Malam Mesra Cempaka 2014 sederhana tapi meriah

Sederhana, tapi meriah! Itulah yang boleh digambarkan pada program Malam Mesra Cempaka 2014 yang berlangsung pada 10 Disember 2014, di Dataran Kolej Cempaka. Program yang dihadiri lebih 800 orang ini bermula jam 8.30 malam. Antara tetamu jemputan yang hadir adalah Pengetua Kolej, Encik Bakri Abdul Karim; Pengurus Asrama, Puan Irmah Dolhan dan felo-felo kolej.

Kehadiran tetamu jemputan disambut dengan persembahan silat dan bacaan qasidah daripada Qasidah Al-Munawwarah Kolej Cempaka. Puan Irmah memulakan taklimat kolej dengan memperkenalkan barisan pengurusan kolej dan peraturan-peraturan yang terdapat di kolej kediaman. Beliau mengharapkan agar warga kolej sentiasa mematuhi peraturan kolej agar pergerakan kolej kediaman sentiasa berada dalam keadaan lancar.

Ucapan amanat oleh Pengetua Kolej pula, seperti tahun-tahun yang lalu tidak pernah membosankan warga kolej yang hadir. Pengetua menyeru agar kecemerlangan Kolej Cempaka tidak akan terhenti dan mengharapkan agar warga kolej dapat menyertai lebih banyak program yang telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Cempaka.

Pada malam itu juga hadirin diperkenalkan dengan JPK Cempaka sesi 2014/2015. Presiden JPK Cempaka, Saudara Muhammad Nadiy menyeru warga kolej agar kekal aktif dan bersemangat dalam bersaing dengan kolej-kolej yang lain dan memohon agar menyokong barisan kepimpinan yang baharu dengan memberikan kerjasama yang baik kepada mereka.

Antara aktiviti yang menarik dalam program tersebut adalah 'Lucky Topup' dan cabutan bertuah.

Galeri Malam Mesra Cempaka 2014, klik di sini.

Monday 8 December 2014

Sukan Air, Olahraga kekal momentum juara

Kolej Cempaka terus mengekalkan momentum juara dalam kejohanan sukan apabila berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan pada Kejohanan Sukan Air Antara Kolej Kediaman UNIMAS 2014 pada 29 November dan 30 November 2014.

Atlet Kolej Cempaka juga berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan pada Kejohanan Olahraga Antara Kolej Kediaman UNIMAS 2014 dengan memperoleh 13 emas, 13 perak dan 8 gangsa. Kejohanan yang berlangsung 7 Disember 2014 ini menyaksikan Kolej Cempaka memenangi Juara Keseluruhan Lelaki dan Wanita, Olahragawan serta Olahragawati Terbaik.

Dengan kemenangan berganda tersebut, Kolej Cempaka menduduki tempat kedua Kejohanan Sukan Antara Kolej Kediaman UNIMAS 2014. Tahniah dan syabas!

Thursday 13 November 2014

Majlis Serah Tugas dan Pengenalan JPK Cempaka 2014/2015

Majlis Serah Tugas dan Pengenalan JPK Cempaka 2014/2015 berlangsung telah berlangsung pada 12 November 2014, di Bilik Rekreasi Kolej Cempaka. Majlis dihadiri oleh Pengetua Kolej, Encik Bakri Bin Abdul Karim dan staf pengurusan serta mantan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Cempaka 2013/2014 dan JPK Cempaka sesi 2014/2015.

Pengetua Kolej dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan JPK Cempaka sesi 2013/2014 yang telah membantu pihak pengurusan kolej sepanjang sesi yang lalu. Beliau juga mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan JPK yang baru dan mengharapkan kecemerlangan Kolej Cempaka akan berterusan.

Dalam majlis tersebut, mantan JPK telah menyerahkan fail tugas kepada barisan JPK yang baharu yang diketuai oleh mantan Presiden, Saudara Emir Farhan Fadzli kepada Saudara Muhammad Nadiy. Pengetua Kolej juga menyerahkan sijil penghargaan kepada mantan JPK yang hadir pada majlis tersebut.

Galeri Majlis Serah Tugas dan Pengenalan JPK Cempaka 2014/2015, klik di sini.

Monday 29 September 2014

Hiburan islami dalam Konsert Kembara Sufi 2.0

Konsert Kembara Sufi 2.0 berlangsung pada 27 September 2014 di Arena Gemilang DeTAR PUTRA UNIMAS. Program yang masuk tahun kedua ini dihadiri oleh Dr. Haji Roslan Ali selaku wakil Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS. Tetamu lain yang turut hadir adalah Dr Abdul Halim Busari, Pengarah Pusat Islam; Encik Mazdan Ali Amaran, wakil Pengetua Kolej Cempaka dan Saudara Muhammad Arif selaku Pengarah Program.

Konsert kali ini membariskan Hafiz Hamidun dan kumpulan nasyid In-Team. Antara lagu-lagu yang dipersembahkan oleh kedua-dua artis seperti Kasih Padamu, Nur Kasih, Iman dan Aman dan Siti Khadijah. Persembahan yang tidak mengecewakan, menyebabkan penonton tidak berganjak dari tempat duduk dan terus menyaksikan persembahan. Selain persembahan nyanyian, penyampaian tazkirah daripada juara Ikon Muda BAMM 2.0 turut memukau penonton.

Program yang berlangsung 3 jam ini dihadiri lebih 2500 penonton yang hadir terdiri daripada warga UNIMAS dan penduduk sekitar Kota Samarahan dan Kuching.

Di samping berhibur, penonton Konsert Kembara Sufi 2.0 juga terus menghulurkan sumbangan kepada rakyat Gaza melalui Tabung Kasih Ummah Gaza. Hasil kutipan telah diserahkan kepada wakil Aqsa Syarif.

Program Konsert Kembara Sufi 2.0 merupakan antara program yang dianjurkan bersempena Cempaka Festival 2014, bermula 26 September yang lalu. Program yang dianjurkan Exco Publisiti dan Media JPK Cempaka ini pernah memenangi Anugerah Rafflesia dalam Majlis Anugerah Pelajar UNIMAS 2014.

Galeri Konsert Kembara Sufi 2.0, klik di sini.

Saturday 6 September 2014

#MAPSept1415 - Cempaka Juara MKM 2014

Kecemerlangan Kolej Cempaka dalam Malam Kesarjanaan Mahasiswa (MKM) Majlis Aluan Pelajar (MAP) UNIMAS 2014/2015 tidak dapat dinafikan lagi apabila berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan MKM yang berlangsung 5 September.

Kejayaan ini adalah dengan sokongan daripada semua Liaison Officer (LO) Kolej Cempaka yang membantu menjadikan kemenangan dalam MKM satu realiti.

Tahniah dan syabas!

A photo posted by MEDIACempaka (@mediacempaka) on


Friday 1 August 2014

Instagram MEDIACempaka Dilancarkan, Info Lebih Pantas Dan Tepat

Seiring arus teknologi yang pantas dalam menyebarkan informasi, MEDIACempaka tidak ketinggalan untuk turut sama melancarkan media sosial terbaharu MEDIACempaka di Instagram di @MEDIACempaka

Antara liputan yang terawal di Instagram MEDIACempaka adalah Minggu Aluan Pelajar (MAP) 2014/2015 yang bakal berlangsung bermula 1 September 2014.

Dengan pelancaran Instagram MEDIACempaka, diharapkan informasi dan maklumat yang terkini dan sahih akan terus disalurkan kepada warga kolej dan warga UNIMAS.

Friday 27 June 2014

Yong Carmen dinobat Miss Preliminary Unimas

Pelajar Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM) UNIMAS, Yong Carmen telah diumumkan sebagai Miss Preliminary UNIMAS mengetepikan empat pesaing lain.

Berita selanjutnya di ruangan Stail Utusan Sarawak.

Monday 26 May 2014

Malam Apresiasi Cempaka iktiraf warga kolej

Malam Apresiasi Cempaka (MAC) berlangsung pada 25 Mei 2014 di The Banquet Kuching. Majlis diserikan dengan kehadiran Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS.

Pada malam yang bertemakan 'Contemporary & Elegant' ini, MAC menghargai jasa dan bakti warga Kolej Cempaka yang mengharumkan nama kolej di persada kolej dan universiti.

Prof Mohd Fadzil dalam ucapannya melahirkan rasa bangga dan teruja dengan penganjuran MAC yang diadakan oleh kolej kediaman dan menyeru warga kolej agar sama-sama memberikan komitmen yang berterusan kepada program dan aktiviti yang dirancang oleh kolej.

Selain menampilkan variasi persembahan yang menarik, terdapat anugerah-anugerah yang turut disampaikan pada malam tersebut.

Keputusan Anugerah sempena Malam Apresiasi Cempaka 2014
Anugerah Usahawan Muda : Saudara Mohamad Rizwan Edris
Anugerah Organisasi Terbaik : Unit Pengurusan Surau Kolej Cempaka
Anugerah Budayawan Terbaik : Saudara Wellingson
Anugerah Program Terbaik : Program Silang Budaya Malaysia - Indonesia
Anugerah Atlet Terbaik : Saudara Mohamad Anwar Radzwan
Anugerah Pengarah Program Terbaik : Saudara Didin Wahyudi
Anugerah Jasa Bakti : Saudari Zatil Aisyah Zainuddin
Anugerah Ikon Cempaka : Saudari Siti Zulaika Rosli
Anugerah Khas Juri (Pengurusan) : Saudari Nik Azma Nik Day

Gambar Malam Apresiasi Cempaka, klik di sini .


Video Malam Apresiasi Cempaka, klik di sini .